Tumpuan :
Mahkamah

Bapa dera anak perempuan dipenjara 5 tahun

Kompleks Mahkamah Langkawi. FOTO NSTP

LANGKAWI: Seorang bapa dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah mendera anak perempuannya yang berusia 16 tahun, Jun lalu.

Hakim Allan Suman Pillai menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh yang berusia 55 tahun selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan.

Mahkamah turut mengarahkan bapa kepada remaja itu berkelakuan baik selama dua tahun dan menjalani program khidmat masyarakat selama 39 jam dalam tempoh enam bulan selepas bebas dari penjara.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menganiayai atau mendedahkan anaknya itu dengan cara mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit di sebuah rumah di Century Suria Service Apartment, Mukim Kuah, di sini, pada jam 8 pagi, 30 Jun lalu.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farhan Aliff Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hakim Hamran.

Mengikut fakta kes, tertuduh memarahi mangsa sebelum menarik rambut, mencekik leher dan menghempuk kepala mangsa ke almari dalam bilik disebabkan mangsa tidak pergi ke sekolah.

Berikutan itu, mangsa telah membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan pada 4.45 petang di rumahnya dua hari selepas kejadian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini