MUAR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk mengacu parang terhadap lelaki warga emas dan memukul anak menggunakan tali pinggang, Ahad lalu.
Teo Aik Hoe, 46, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibaca berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.
Dalam pertuduhan pertama, bapa kepada lima anak itu didakwa menyebabkan kecederaan ke atas anak lelakinya berusia 21 tahun menggunakan tali pinggang di tempat parkir kereta, Taman Jauhari, 16 Jun lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Seksyen 323 memperuntukkan penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya manakala bagi Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum ke atas sabitan bagi Seksyen 323.
Dalam pertuduhan kedua, dia didakwa sengaja menakutkan secara jenayah terhadap anak lelakinya dengan mengacu parang pada jam 4.30 petang, hari dan tempat sama.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menyerang dan membaling parang ke arah seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun, di kebun durian Parit Tengah Darat, Parit Jawa, di sini pada jam 7.30 pagi, 18 Jun lalu.
Untuk pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Sakinah Suhaimi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah menetapkan 22 Julai ini bagi sebutan semula, serahan dokumen dan lantikan peguam.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM5,500 dan menetapkan syarat tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.