MUAR: Pekerja kilang di Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap cucu saudaranya ketika mangsa menumpang mandi di rumah tertuduh di Batu Pahat, Isnin lalu.
Tertuduh berusia 58 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa melakukan amang seksual terhadap cucu saudaranya berusia 14 tahun di rumahnya di Batu Pahat, 8.30 pagi, 23 Disember lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Berdasarkan laporan dibuat mangsa, kejadian berlaku ketika pelajar Tingkatan Dua itu singgah di rumah tertuduh dan menumpang mandi.
Ketika mahu ke bilik air, tertuduh datang dari arah belakang bertindak memeluknya dengan mangsa meronta-ronta sebelum berjaya melepaskan diri.
Namun, perbuatan itu tidak terhenti begitu sebaliknya tertuduh cuba merakam mangsa sedang mandi dalam bilik air tetapi disedari remaja itu.
Mangsa kemudian menceritakan kepada ahli keluarganya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada hari kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM25,000 serta syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran, tidak mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa serta menyerahkan pasport.
Kes disebut semula pada 3 Februari ini untuk serahan dokumen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.