Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Dua lelaki didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini, atas kesalahan membantu kegiatan along atau pemberi pinjaman wang tidak berlesen, dua tahun lalu.
Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Jeshen Chong Chia Shen, 24, dan Lok Jin Rong, 25, mengaku bersalah sebaik pertuduhan berasingan dibacakan terhadap mereka.
Tertuduh turut berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda terbabit.
Jeshen Chong dan Jin Rong yang kedua-dua mereka bekerja sebagai pembantu logistik, membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Jeshen Chong didapati membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen menjalankan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen dengan membenarkan akaun Maybank miliknya digunakan bagi tujuan itu antara 2 Februari 2021 hingga 29 Mac 2021 di Bukit Baru, di sini.
Sementara, Jin Rong pula didakwa melakukan kesalahan sama dengan membenarkan akaun Maybanknya digunakan untuk aktiviti pinjaman wang tanpa lesen di tempat sama antara 27 Februari 2021 hingga 28 Mac 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta, pengadu dalam kedua-dua kes adalah seorang wanita yang mendakwa dihubungi seorang lelaki dikenali sebagai ‘Kenny’ yang meminta bayaran faedah hutang sebanyak RM1,000 kerana lewat membayar pinjaman.
Supspek juga mengugut akan menghantar orang membuat kacau di rumah pengadu jika enggan membayar kadar faedah itu sedangkan bayaran pinjaman sudah dibuat.
Bimbang keselamatan diri dan keluarga, pengadu membuat laporan polis hingga tertangkapnya kedua-dua tertuduh pada 25 November 2022.
Hasil siasatan polis, kedua-dua tertuduh mengaku membantu aktiviti pinjaman wang tanpa lesen dan semua wang dibayar oleh pengadu ke dalam akaun mereka didapati dipindahkan ke akaun lain.
Terdahulu, Jeshen Chong yang masih bujang dan Jin Rong yang telah berkahwin dan menyara dua anak serta isteri tidak bekerja merayu hukuman denda ringan dikenakan kerana menyesal atas kesalahan dilakukan.
Mereka juga menyatakan telah berpindah ke Kuala Lumpur dan memulakan kehidupan baru serta memohon diberikan peluang memperbaiki diri kerana itu kesalahan pertama dan usia masih muda.
Begitupun, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob berhujah supaya hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan sama.
Majistret Sharda Shienha kemudian memutuskan kedua-dua tertuduh masing-masing didenda RM3,000 setiap seorang.