Tumpuan :
Mahkamah

Banduan dihadapkan ke mahkamah cuba sogok polis

Samsuri Arijan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memberi suapan berjumlah RM3,700 kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan.

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Seorang banduan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan cuba menyogok seorang pegawai polis di Segamat, pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Samsuri Arijan, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Samsuri didakwa memberi suapan berjumlah RM3,700 kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan untuk melepaskan dirinya yang ditahan kerana memiliki dadah.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu sekitar jam 6.55 petang pada 14 Oktober lalu, di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai pendakwa SPRM, Muhammad Faizal Kamaruzaman manakala tertuduh tudak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara atas empat kesalahan berkait jenayah dadah mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini