Tumpuan :
Mahkamah

Bakal pengantin ceroboh surau dipenjara  

Bakal pengantin terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan selepas dipenjara enam bulan kerana gagal membayar denda atas kesalahan memecah tabung surau. – Foto: NSTP

MUAR: Seorang bakal pengantin lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memecah tabung surau dekat Bukit Mor, Parit Jawa, dekat sini minggu lalu.

Tertuduh, Nordin Ahmad Maat, 50, yang sepatutnya menamatkan zaman bujang bulan depan, dihantar ke penjara kerana gagal membayar denda RM2,000.

Tertuduh yang bekerja kebun didakwa  menceroboh surau dengan niat untuk melakukan jenayah pada jam 11.31 malam, 9 November lalu.

Dakwaan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh dilaporkan memasuki  surau terbabit untuk mencuri duit tabung.

Perbuatan lelaki itu berjaya dikesan seorang kariah surau selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbit.

Pengadu kemudian memanggil rakannya lalu ke surau terbabit dan melihat sebuah motosikal di parkir di hadapannya.

Tertuduh yang menyedari kehadiran kariah berkenaan  bertindak melarikan diri dengan memanjat pagar belakang surau.

Hasil laporan polis yang dibuat pengadu, tertuduh ditahan untuk tindakan lanjut.

Semakan mendapati tertuduh mempunyai empat rekod lampau pada 2019.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Norain Sakina Zakri daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Susulan pengakuan bersalah tertuduh, Majistret, Fatin Dalilah Khalid menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dari tarikh sabitan iaitu hari ini serta denda RM2,000.

Mahkamah juga mengarahkan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda berkenaan.

Loading...
Terkini