SHAH ALAM: Padah mengedar dadah, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Hakim Dr Suzana Muhamad Said menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Irsyad Adzha, 33, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Irsyad didapati mengedar kanabis seberat 495.20 gram di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bangi, Hulu Langat pada 11 Februari 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam, Datuk Naran Singh merayu agar anak guamnya tidak dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Beliau berharap mahkamah memberi peluang kerana tertuduh masih muda dan mempunyai seorang isteri serta anak masih kecil.
“Walaupun mahkamah boleh mengguna pakai budi bicara untuk menjatuhi hukuman, ia harus melihat pada fakta kes. Rujuk pada jenis dadah, mahupun berat bahan itu, lagi pun ini adalah kesalahan pertamanya, tidak munasabah jika dikenakan hukuman gantung, tidak logik,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail membantah permohonan itu dan berpendirian tertuduh wajar dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Ini kerana hukuman berat akan memberi mesej kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.
“Walaupun ada pindaan hukuman, namun pendakwaan berpendirian supaya dia dikenakan hukuman gantung sampai mati.
”Mahkamah tidak perlu bersimpati dengan rayuan yang dikemukakan pihak pembelaan dan tidak bertolak ansur dengan penjenayah seperti ini,” katanya.
Parlimen April lalu memutuskan untuk memansuh hukuman mati mandatori dan meluluskan pindaan bagi menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat dengan pemenjaraan selama 30 hingga 40 tahun.
Rang undang-undang itu telah dibahaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang sebelum diluluskan melalui undian sebulat suara.