Tumpuan :
Mahkamah

Badut nafi rogol, lakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan

Lelaki dituduh rogol remaja perempuan dan lakukan amang seksual fizikal tanpa kerelaan mangsa, bulan lalu- FOTO NTSP

AYER KEROH: Seorang pengutip besi dituduh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan bulan lalu.

Tertuduh berusia 38 tahun itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman selepas dibacakan pertuduhan itu.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didapati merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun tanpa kerelaannya di sebuah rumah di Kampung Tehel dekat Jasin, kira-kira jam 6 pagi, 25 November lalu.

Bagi kesalahan rogol, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela berdepan hukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

Sementara bagi kesalahan amang seksual fizikal, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan jaminan, namun mencadangkan RM10,000 berserta syarat tambahan sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

Tertuduh bagaimanapun merayu supaya diberikan jaminan rendah kerana hanya bekerja sebagai pengutip besi dan badut menjual belon.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin serta memerintahkan dia melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Kes akan disebut semula 14 Januari depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini