comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Azlan Man mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu RM1.18 juta

Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man

Oleh Kumaran Rajamoney

KANGAR: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah ke atas lima pertuduhan berhubung tuntutan palsu berjumlah RM1.18 juta bagi kemudahan “Cuti Seberang Laut” Menteri Besar Perlis di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Azlan membuat pengakuan itu selepas kesemua lima pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan berjumlah RM230,230 menggunakan Invois Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. bertarikh 11 Disember 2013 sedangkan tidak ada perjalanan seperti yang dituntut.

Tuntutan itu adalah bagi kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London bagi tarikh 20 Disember 2013 sehingga 2 Januari 2014.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengemukakan sebut harga tiket penerbangan pergi balik ke London, United Kingdom dan hotel penginapan bertarikh 20 November dan 17 Disember 2014.

Tuntutan bertarikh 17 hingga 26 Disember 2014 berjumlah RM216,260.00 tanpa melakukan perjalanan itu.

Pertuduhan ketiga, Azlan dituduh mengemukan sebut harga tiket penerbangan pergi balik ke London, United Kingdom dan hotel penginapan bertarikh 26 November 2015.

Tuntutan itu berjumlah RM241,295.40 sedangkan tidak ada perjalanan dilakukan.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa di antara 8 November 2016 dan 29 Disember 2016 mengemukakan sebut harga tiket penerbangan pergi balik ke London, United Kingdom dan hotel penginapan bertarikh 14 Disember 2016.

Tuntutan itu berjumlah RM253,195.40 tanpa melakukan perjalanan seperti yang dituntut.

Bagi pertuduhan kelima pula, Azlan dituduh melakukan kesalahan mengemukakan sebut harga tiket penerbangan pergi balik ke London, United Kingdom dan hotel penginapan bertarikh 8 November 2017.

Tuntutan berjumlah RM244,079.30 sedangkan tidak ada perjalanan seperti yang dituntut tersebut dilakukan.

Kesalahan bagi kesemua pertuduhan didakwa dilakukan pada bulan Disember 2013, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri.

Kesemua pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.

Mahkamah membenarkan Azlan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pengarah (2) Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Ahmad Akram Gharib dan tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.

Loading...
Terkini