Tumpuan :
Mahkamah

Azilah terlepas hukuman gantung, diganti penjara 40 tahun dan 12 sebatan

 

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

PUTRAJAYA: Bekas Cif Inspektor, Azilah Hadri, yang disabitkan dengan kesalahan membunuh  wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman itu kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan.

Permohonan Azilah Hadri, 48, untuk semakan semula hukuman mati di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 dibenarkan oleh panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Tengku Maimun bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan.

Azilah membuat permohonan semakan hukuman mati, susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lalu.

Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.

Terdahulu, bapa kepada Altantuya menyokong permohonan semakan hukuman mati yang difailkan oleh bekas komando polis itu diganti kepada pemenjaraan.

Peguam, J Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah, membaca sebahagian isi surat yang ditulis Dr Shaariibuu Setev mengenai ‘kemurnian hidup’.

“Kami ada surat daripada bapa mangsa, beliau juga meminta supaya hukuman mati diganti kepada penjara,” kata Kuldeep Kumar dalam hujahan di mahkamah hari ini.

Peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo mengesahkan perkara itu dan mempunyai salinan asal surat berkenaan.

Azilah membuat permohonan semakan hukuman mati itu susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lalu.

Pada 2009, Azilah disabitkan bersama seorang lagi bekas anggota polis iaitu Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi esoknya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota polis itu.

Sementara itu, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan itu oleh mahkamah yang sama.

Azilah dan Sirul Azhar kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013.

Bagaimanapun, pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.

Sirul Azhar tidak hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana melarikan diri ke Australia pada 2006 di mana dia ditahan di bawah undang-undang Imigresen sebelum dibebaskan pada akhir tahun lalu.

Pada 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azilah untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya.

Media melaporkan bahawa Azilah turut memohon pengampuran diraja daripada Sultan Selangor.

Pada 2022, keluarga Altantuya menang dalam saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak serta kerajaan dan Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan supaya mereka dibayar ganti rugi sebanyak RM5 juta.

Bagaimanapun, kes itu masih di peringkat Mahkamah Rayuan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini