Tumpuan :
Mahkamah

Angkara pasang muzik kuat, lelaki Nepal tumbuk rakan didenda RM1,500

Jaya Bahadur didenda RM1,500 kerana menumbuk rakan. – Foto: NSTP

BATU PAHAT: Lelaki warga Nepal didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan menumbuk seorang rakan lelaki yang memasang muzik terlalu kuat, Ahad lalu.

Jaya Bahadur Yonjan, 32, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

“Saya nak minta maaf. Saya mahu denda,” rayu lelaki warga Nepal sebelum didenda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap rakan berusia 30 tahun di Hostel Wawasan, Taman Perindustrian Jalan Budi, di sini, jam 10 malam, 16 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada mangsa yang memaklumkan dia cedera di telinga kiri selepas ditumbuk rakan.

Siasatan polis mendapati, kejadian berpunca tindakan mangsa memasang muzik terlalu kuat hingga menyebabkan tertuduh tidak selesa.

Walaupun diarahkan supaya memperlahankan muzik itu, mangsa tidak mengendahkan yang menyebabkan tertuduh hilang sabar lalu menumbuk telinga mangsa.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada 17 Februari dengan tertuduh ditahan pada hari yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sarip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan namun dia membayar denda dikenakan terhadapnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini