Tumpuan :
Mahkamah

Anggota polis hadapi 34 pertuduhan rasuah

KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas 34 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,500.

Mohd Izham Salim, 36, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan, dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara berperingkat menerima wang yang dimasukkan kedalam akaun tertuduh sebanyak RM12,500 daripada seorang lelaki sebagai dorongan menyalurkan pergerakan operasi Pegawai bahagian Narkotik IPD Kemaman.

Tertuduh melakukan kesalahan di daerah Kemaman antara bulan Disember 2019 sehingga Mac 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dipenjara selama 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 3 April depan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM11,000 dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserah kepada pihak mahkamah.

Tertuduh turut diarah melaporkan diri ke Pejabat SPRM setiap 1 hingga 5 haribulan setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh.

Manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Nadjmi Adila Md Nasir dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Loading...
Terkini