GEORGE TOWN: Seorang anggota polis direman lima hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai meminta suapan RM80,000 kononnya bagi membantu membebaskan suami seorang wanita yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Perintah reman dikeluarkan Majistret Azlan Basri terhadap suspek, koperal berusia 40-an itu, bermula hari ini sehingga 23 Disember ini.
Sebelum itu, suspek yang memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di pekarangan mahkamah dalam keadaan tangan bergari dan menaiki kenderaan SPRM pada 8.40 pagi
Dia kemudiannya diiringi pegawai SPRM meninggalkan mahkamah pada 9.45 pagi.
Terdahulu sumber SPRM Pulau Pinang berkata, pihaknya menahan seorang anggota penguat kuasa kerana dipercayai meminta rasuah kira-kira RM80,000 daripada seorang wanita, kononnya bagi membantu membebaskan suami yang ditahan di bawah Sosma.
Menurutnya, suspek disyaki menghubungi isteri lelaki terbabit melalui panggilan telefon pada 30 November lalu bertujuan meminta wang sebagai balasan mengubah keterangan untuk membantu suaminya dilepaskan daripada tahanan Sosma.
“Suspek meminta wang pendahuluan kira-kira RM25,000 daripada wanita berkenaan yang kemudian membuat beberapa pindahan wang menerusi sistem pembayaran e-dompet membabitkan nilai kira-kira RM3,000.
“Isnin lalu, suspek sekali lagi menghubungi wanita berkenaan dan meminta wang kira-kira RM2,000 secara tunai,” katanya di sini, hari ini.
Sumber itu memaklumkan, wanita berkenaan kemudian menyerahkan wang kira-kira RM1,000 kepada suspek dalam pertemuan di sebuah stesen minyak di Sungai Dua, di sini, kira-kira 2 petang semalam, sebelum dia ditahan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.