comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Anggota Maritim Malaysia didakwa terima rasuah

 

Foto Ihsan SPRM

IPOH: Seorang anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia berpangkat Laskar Kanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima tuduhan menerima suapan, dua tahun lalu.

Raimi Fathullah Rosland, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga kelima, dia didakwa menerima RM1,700 daripada pemilik sebuah syarikat melalui seorang wanita di mana dia mengetahui pemilik dan syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya pada 3 dan 17 Februari serta 2, 21 dan 29 April 2022.

Dia yang bertugas di Langkawi didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat SPRM Langkawi pada setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Disember depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini