IPOH: Seorang jurudawai dipercayai anggota Geng Jiva mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan merompak, memecah rumah, menyebabkan kecederaan ketika merompak dan memiliki senjata berbahaya dalam beberapa kejadian sejak tahun lepas.
K Gunasegaran, 34, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya yang didakwa dilakukan di sekitar Ipoh antara kira-kira 1.10 tengah hari pada 18 Jun 2022 hingga 10.30 pagi 18 Oktober lalu, dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Gunasegaran bersama seorang lagi rakan K. Kaliswaran, 35, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama dengan niat melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan senjata tajam terhadap Fong Bee Goot@Chan Nyuk Lan, 89, dan Seri Wahyuni di No 1 Regat Mansion di sini pada kira-kira pukul 10.30 pagi, 18 Oktober lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan namun peguam Dayang Nor Emilia Azman yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan minimum dikenakan ke atas anak guamnya.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diberikan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 6 Disember serta 9 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 24 Oktober lalu, polis menumpaskan kumpulan samun bersenjata dikenali Geng Jiva selepas menahan empat individu termasuk ketua kumpulan itu dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Syabas di sini dan penahanan itu dipercayai dapat menyelesaikan 24 kes jenayah kekerasan dan 34 jenayah harta benda disyaki dilakukan kumpulan itu di sekitar Ipoh. – BERNAMA