Oleh: Selwam Arjunan
BUTTERWORTH: Seorang lelaki direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret, di sini, bagi membantu siasatan kes bunuh ibu kandungnya dalam kejadian di Pangsapuri Seri Orkid di sini, pada Jumaat lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal terhadap penganggur berusia 24 tahun itu bermula hari ini sehingga 9 Februari ini.
Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.
Turut direman bagi tempoh sama, kekasih kepada suspek utama itu bagi membantu siasatan.
Terdahulu, pasangan itu tiba di pekarangan mahkamah diiringi polis dengan berpakaian lokap pada jam 10.49 pagi.
Terdahulu, misteri bau busuk dari sebuah unit di pangsapuri terbabit dipercayai membawa kepada penemuan mayat wanita berusia 60-an.
Difahamkan berlaku pertengkaran antara dua beranak itu antara jam 6 petang hingga 8 malam pada Jumaat lalu.
Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara memberkas suspek dan kekasihnya berusia 20 tahun di Paya Terubong, kira-kira jam 6.30 pagi tadi.
Semakan polis juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau atas kesalahan memukul kedua-dua ibu bapanya serta positif dadah.
Motif kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.