comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Anak derhaka mengaku pukul ibu dengan penyapu hingga parah

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Seorang tukang sapu dipenjara 6 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah memukul ibunya dengan penyapu hingga cedera parah.

Tertuduh Mohd Fadzri Idzuan Mustapha, 37 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan tertuduh memukul kepala ibu kandungnya, Siti Rafiah Ismail, 70 tahun, dengan sebatang penyapu dari arah belakang.

Pukulan tersebut menyebabkan mangsa cedera dan pitam disebabkan berlaku pendarahan di kepala sehingga menerima beberapa jahitan ketika dirawat di hospital.

Punca tertuduh memukul ibunya kerana mangsa tidak mahu memberi wang yang dipercayai untuk membeli dadah.

Kejadian berlaku di Kampung Tanggul, Kuala Berang, Hulu Terengganu, pada 6 Julai lalu, jam 7.00 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda, sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara ke atas tertuduh berkuatkuasa pada tarikh tangkapan iaitu 7 Julai 2024.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim.

Manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini