TAWAU: Seorang lelaki warga emas dihukum penjara dua tahun dan dua kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, Disember tahun lalu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya, terhadap Roberto Sairal, 59, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Katanya dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira pertuduhan, fakta kes, jenis kesalahan yang dilakukan serta faktor kepentingan awam.
“Setelah meneliti faktor-faktor tersebut dan hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun bermula tarikh tangkap iaitu pada 24 Disember 2024 dan dua kali sebatan rotan.
“Tertuduh juga dikehendaki mengikuti kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan selain menjalani perintah pengawasa polis dalam tempoh tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman,” katanya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai nelayan, didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan maksud seksual terhadap mangsa kira-kira jam 8 malam di rumah keluarga mangsa di Semporna.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Shearil Aizad dalam hujahan pemberatan hukuman berkata, kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius memandangkan kes-kes mencabul kanak-kanak di negara ini semakin berleluasa.
Katanya, tertuduh dalam kes ini berumur 59 tahun telah bertindak mengambil kesempatan dengan melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berumur 13 tahun (ketika kejadian).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.