comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Along mengaku tidak bersalah ambil wang cagaran daripada lima peminjam

Tertuduh, Teo Bak You (jaket hitam) didakwa Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas lima pertuduhan mengambil wang cagaran pinjaman sebanyak RM3,250 secara tidak sah daripada lima peminjam di sebuah bank, dua minggu lalu. – Foto: NSTP/ Ihsan pembaca.

KOTA BHARU: Seorang ejen pinjaman wang tanpa lesen atau along mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan mengambil wang cagaran pinjaman sebanyak RM3,250 secara tidak sah daripada lima peminjam di sebuah bank, dua minggu lalu.

Tertuduh, Teo Bak You, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut kelima-lima pertuduhan, tertuduh yang juga pemegang lesen pemberi pinjaman wang didakwa mengambil cagaran berbentuk wang tunai berjumlah RM3,250 daripada lima peminjam berusia antara 32 hingga 57 tahun.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Pintu Pong di sini, kira-kira 7.30 pagi, pada 25 Julai 2023.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8 (c) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya dikenakan penjara tidak lebih 12 bulan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh diwakili peguam, Lau Teck Bee.

Terdahulu, Syazalia mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kelima-lima pertuduhan itu.

Bagaimanapun, Teck Bee memohon satu jaminan yang minimum kerana anak guamnya sudah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis dan pendakwaan ketika siasatan kes.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM14,500 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 12 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan untuk serahan dokumen.

Loading...
Terkini