KUALA LUMPUR: Pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies tiba pada jam 9.30 pagi di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini hari ini bagi prosiding sebutan semula pertuduhan kes khalwat dengan dikawal tiga pengawal peribadi.
Penyanyi Sayang Sayang itu lengkap berpakaian serba hitam dan Ruhainies memakai jubah berwarna coklat diwakili peguam Abdul Hadi Mohamad Salleh dan Muhammad Amirul Ashraf A. Ghani.
Ruhainies yang turut memakai pelitup muka hanya meminta doa bagi urusannya hari ini dipermudahkan.
“Doa yang baik-baik,” katanya.
Sementara Aliff, 33, mengunci mulut dan enggan memberi sebarang respons kepada pihak media mengenai prosiding hari ini.
“Alhamdulillah,” kongsinya.
Pada 3 Julai lalu, Aliff dan Ruhainies yang diwakili peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan hakim, Abu Suffian Abu Yaziz berhubung kes khalwat pada 9 Mac lalu.
Pertuduhan terhadap mereka didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat yang dilaporkan berlaku di sebuah kondominium mewah, di sini, di ibu negara pada 9 Mac lalu.
Selepas dibawa ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk disoal siasat, Aliff dan Ruhainies masing-masing dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 2 petang, pada hari sama.
Sebelum ini, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah, di sini.
Sumber dilapor berkata, tangkapan dibuat JAWI adalah berdasarkan maklumat awam. Pasangan selebriti yang sibuk menjalani penggambaran drama itu, dilapor ditahan di kediaman milik pelakon wanita berkenaan.
Rentetan insiden itu, Aliff dan Ruhainies masing-masing tampil memberi penjelasan menerusi hantaran Instagram berhubung kontroversi tercetus.
Aliff dilapor menjelaskan tiada apa yang berlaku antara dirinya dan Ruhainies ketika diserbu JAWI di kondominium milik aktres berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.