Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Pempengaruh terkenal, Aliff Teega mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyalahgunakan dana awam program infaq di mahkamah sesyen hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, Aliff Teega atau nama sebenarnya Mohd. Hazalif Mohd. Hazani, 30, didakwa menyalahguna wang tunai RM36 047.35 bagi tujuan infaq iftar di Mekah, Syria dan Palestin pada 26 April di sebuah bank di ibu kota.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 15 Jun di lokasi yang sama, usahawan itu didakwa menyalahgunakan wang tunai sebanyak RM 27, 558.13 di bawah program ‘Jom Sertai Infaq Daging Korban’.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukankan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Azura Alwi membenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat perlu menyerahkan pasport dan lapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat sebulan sekali.
Mahkamah turut menetapkan 21 Oktober untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, tertuduh yang turut ditemani isteri, yang juga seorang pempengaruh terkenal tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sekitar jam 8.30 pagi.
Mereka bagaimanapun mengelak kehadiran mereka dirakam pihak media.
Julai lalu, tertuduh dan isterinya, bersama dua lagi individu direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya berhubung kes penyelewengan dana derma awam melalui platform JomDonate.
Reman kesemua mereka kemudiannya disambung lagi selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.