comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Akauntan antara enam wanita didakwa miliki video lucah berkaitan Hot Daddy

Anggota polis mengiringi enam wanita yang berdepan pertuduhan memiliki video lucah yang dikaitkan dengan ‘Hot Daddy’ di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Enam wanita termasuk seorang akauntan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki video lucah yang dikaitkan dengan bapa tiga anak dikenali ‘Hot Daddy’ yang sebelum ini didakwa mengiklankan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.

Empat daripada mereka termasuk seorang penuntut universiti didenda antara RM2500 dan RM4800 selepas mengaku salah atas tuduhan memiliki video lucah bagi maksud menunjukkannya secara awam.

Kesemua tertuduh yang mengaku salah itu adalah Nurnabilah Ayuni Hanafi (penganggur), 22; Amira Natasha Mohammad (pemandu pelancong), 26; Nur A’liaa Muhamad Rosly (penuntut universiti), 22; dan Farah Adila Hanum Khairuddin (eksekutif pemasaran), 36.

Nurnabilah Ayuni dan Amira Nastasha yang didakwa di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim masing-masing didenda RM3,000 manakala Farah Adila yang didakwa di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim didenda RM2,500 dan Nur Aliaa yang didakwa di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan pula didenda RM4,800.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Unit Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Wangsa Maju di sini semalam mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mereka juga diperintahkan dipenjara antara sebulan dan enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Sementara itu, pelajar kolej swasta Felecia Lisa Nandong, 21, dan akauntan, Norfatihah Ramle, 30, yang turut didakwa dengan pertuduhan sama, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin dan Majistret S Arunjothy.

Mahkamah kemudian membenarkan Felecia diikat jamin RM2,000 dan Norfatihah diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 12 Mac dan 26 Mac ini bagi sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiezah Mohamed Fauzi, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, Zuhairi Osman, Sheryn Yong Shi Yee dan Nor Aisyah Mohamed Zanyuin.

Jumaat lalu, lelaki tiga anak dikenali ‘Hot Daddy’ yang ditahan kerana merakam dan menjual aksi hubungan intimnya melalui aplikasi X, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Lelaki terbabit, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32 dan dua teman wanitanya Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, kerana mempromosikan aktiviti seks untuk keuntungan.

Mereka ditahan pada 17 Januari lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah rumah di Janda Baik, Pahang.

Siasatan mendapati suspek menjual video berkenaan dalam aplikasi X dengan kadar RM100 bagi 200 video sebulan dan RM20 bagi 13 video sebulan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini