GEORGE TOWN: Seorang ahli peniagaan bergelar ’Datuk’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen yang dipalsukan pada Jun tahun lepas.
Lai Boon Kiat, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen yang dipalsukan, iaitu cek bernilai RM300,000, untuk prosiding kes sivil di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 26 Jun, 2023.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam Woon Choon.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Julai depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.