PUTRAJAYA: Seorang ahli perniagaan Malaysia dan dua warga Iran terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar 48.6 kilogram dadah jenis metamfetamina.
Mereka ialah J. Balakrishnan, 68, Mohammad Abbasi Younes, 40 dan Syedmohsen Namazikivaj Seyedreza, 34.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan untuk mengetepikan sabitan serta hukuman terhadap mereka.
Harmindar, yang mempengerusikan panel itu, berkata mahkamah mendapati kes itu agak membingungkan kerana tiada rekod bagi eksibit yang ditandakan, di mana ia ditandakan, saksi pendakwaan bagi eksibit terbabit dan sama ada ia dikemukakan di hadapan hakim perbicaraan.
“Dalam keadaan ini, kami terpaksa memutuskan bahawa terdapat kekhilafan yang mengakibatkan perbicaraan kes itu tidak sah,” katanya.
“Dalam penghakiman ini, kami mendapati sabitan yang direkodkan oleh Mahkamah Tinggi dan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan adalah tidak selamat,” katanya.
Pada 6 Disember 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menjatuhi hukuman mati terhadap ketiga-tiga lelaki selepas mensabitkan mereka dengan kesalahan mengedar dadah melalui cara menghasilkannya di sebuah rumah di Taman Sri Rambai, Seberang Perai Tengah pada 10.10 malam 20 Ogos 2015.
Bagaimanapun, tertuduh keempat iaitu B. Lacheme Devi, 61, telah dibebaskan dan Mahkamah Tinggi tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.
Sementara itu, rayuan Balakrishnan, Mohammad Abbasi dan Syedmohsen telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Januari lepas.
Berdasarkan kes pendakwaan, polis telah menyerbu rumah itu yang didakwa dijadikan makmal memproses dadah.
Peguam Muhammad Hasif Hassan mewakili Syedmohsen dan peguam Affifuddin Ahmad Hafifi mewakili Balakrishnan manakala peguam A.Sahadeva bertindak bagi pihak Mohammad Abbasi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari.-BERNAMA
Mahkamah
Ahli perniagaan, 2 warga Iran dibebaskan daripada pertuduhan edar dadah
Berita berkaitan
Loading...
Terkini