SHAH ALAM: Jabatan Peguam Negara (AGC) masih meneliti representasi dikemukakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, untuk pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap beliau.
Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Masri Mohd Daud mencadangkan mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu bagi kes berkenaan.
“AGC masih meneliti representasi yang dikemukakan, maka kami tidak dapat memberi keputusan hari ini,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Aslam Zainuddin, hari ini.
Peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Muhammad Sanusi, mengesahkan perkara itu dan bersetuju dengan cadangan Masri.
Aslam menetapkan 10 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi prosiding keputusan representasi itu dan berharap tidak ada lanjutan selepas ini.
“Saya harap ini tarikh terakhir untuk keputusan representasi kes ini,” katanya.
Muhammad Sanusi, 50, menghadapi dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, kira-kira jam 11 malam, 11 Julai 2023.
Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
September lalu, Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah buat kali pertama membuat permohonan ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor berkaitan kenyataan beliau yang didakwa menghina baginda.
Sultan Sharafuddin berkenan menerima permohonan maaf itu atas nama ukhuwah sesama Islam dan bangsa Melayu, selain menasihatkan Muhammad Sanusi sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila.
Pada prosiding sebelum ini, peguam pemerhati Sultan Selangor, Datuk Seri Salehuddin Saidin mengesahkan kenyataan Sultan Selangor yang memaafkan Muhammad Sanusi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.