Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerima permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail untuk memfailkan afidavit dalam kes ‘perintah tambahan’ penahanan rumah yang didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong terdahulu.
Keputusan itu dibuat Datuk Hakim Amarjeet Singh di dalam kamar.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 Julai untuk keputusan sama ada memberi kebenaran kepada Datuk Seri Najib untuk meneruskan semakan kehakimannya.
Dalam permohonannya yang difailkan pada 1 April, Najib mendakwa bahawa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengeluarkan “perintah tambahan” semasa mesyuarat lembaga pengampunan pada 29 Januari, sehari sebelum tempoh penggal baginda berakhir.
Pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan separuh hukuman penjara Datuk Seri Najib bagi kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Datuk Seri Najib, 70, kini menjalani hukuman di penjara Kajang dan dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.