comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Adik nampak kakak dirogol, bapa kandung mengaku salah

MUAR: ‘Saya faham dan mengaku salah’

Itu pengakuan seorang bapa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol dan cabul dua anak kandung perempuan di rumahnya di Batu Pahat, bulan lalu.

Tertuduh berusia 45 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, dia bekerja sebagai pemasang jubin didakwa merogol anak kandungnya berusia 14 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat, antara jam 2.30 hingga 4 petang, 28 Ogos lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak bongsunya berusia 11 tahun pada waktu petang, sekitar April tahun ini, dengan perbuatan itu juga berlaku di rumah sama.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara selama 20 tahun dan juga sebatan.

Berdasarkan laporan dibuat, ibu mangsa membuat laporan selepas salah seorang anaknya memberitahu dia ternampak kakaknya dirogol tertuduh ketika pulang dari sekolah.

Adiknya yang turut menjadi mangsa cabul tertuduh melihat kejadian itu melalui tingkap rumahnya sebelum terdengar kakaknya meminta pertolongan.

Ketika kejadian, ibu mangsa tiada di rumah kerana bekerja di kedai jahit.

Mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebaik pulang ke rumah pada petang hari kejadian dengan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, 10 malam hari sama.

Bertindak atas laporan dibuat, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di sebuah taman perumahan tidak jauh dari lokasi kejadian.

Mangsa turut dibawa ke Hopsital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan dan pemeriksaan mendapati mangsa telah dirogol.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 5 September ini untuk pihak pendakwaan menyediakan fakta kes serta hukuman terhadap tertuduh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini