Tumpuan :
Mahkamah

Abang dipenjara dua bulan kerana pukul adik

Tee Kiat dipenjara dua bulan selepas mengaku salah memukul adiknya sehingga cedera. FOTO NSTP

BATU PAHAT: Seorang penjual ikan dipenjara dua bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memukul adik kandung sehingga cedera pada September lalu.

Tertuduh, Tan Tee Kiat, 55, yang juga duda dua anak membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Tee Kiat didakwa dengan sengaja mencederakan adik kandungnya berusia 45 tahun di rumah ibunya di Kampung Segenting, Mukim 9, di sini, pada jam 6 petang, 28 September lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya bagi Seksyen 323, manakala Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.

Berdasarkan laporan dibuat, sebelum kejadian, Tee Kiat meminta wang RM10,000 daripada ibunya kerana mahu membuat modal perniagaan, namun adiknya yang kebetulan berada di rumah menegurnya sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Tertuduh kemudian memukul leher dan kepala adiknya hingga cedera. Laporan perubatan juga mendapati ada kesan kecederaan dialami mangsa.

Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada hari kejadian dan tertuduh ditahan bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Haryanti Othman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bermula tarikh ditangkap, 28 September lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini