comscore
Tumpuan :
Mahkamah

‘Abang Bas’ kekal pengakuan tidak bersalah, sebutan semula kes 11 November

‘Abang Bas’ sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MUAR: ‘Abang Bas’ yang sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Prosiding hari ini adalah sebutan semula kes mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Batu Pahat, 11 September lalu serta serahan dokumen berkaitan dua pertuduhan sebelum itu.

Pada prosiding itu juga, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir memohon mahkamah untuk menetapkan tarikh baru susulan beberapa dokumen belum lengkap.

Peguam Muhammad Qayyim Saiful Bahari yang mewakili ‘Abang Bas’ bagaimanapun tidak membantah permohonan dibuat oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kesemua kes itu.

Pada 10 September lalu, Abang Bas berusia 24 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017, Seksyen 15 (a) (iii) akta sama.

Dia yang mengaku tidak bersalah sebelum Hakim Sayani Mohd Nor membenarkannya diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan ini.

Sehari kemudian, dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan membuat pengakuan sama serta diikat jamin RM10,000.

Bagaimanapun, kegagalan melunaskan ikat jamin menyebabkan dia dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.

Pada 17 September lalu, ‘Abang Bas’ dibebaskan sementara selepas melunaskan keseluruhan ikat jamin dikenakan terhadapnya.

Sebelum ini, tular di TikTok seorang lelaki menggelar seorang penumpang bas yang dipercayai murid ssebagai orang yang disukainya.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini