comscore
Tumpuan :
Mahkamah

‘Abang Bas’ direman lima hari

Tangkap layar perkongsian di X mengenai foto murid dimuat naik pemandu bas sekolah.

JOHOR BAHRU: Polis menahan reman pemandu bas yang memuat naik rakaman video penumpang bas yang dipercayai murid sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’, di Simpang Renggam, pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, suspek 24 tahun direman selama 5 hari hingga 10 September.

Permohonan reman dibenarkan oleh Majistret Suhaila Safi’uddin di Mahkamah Majistret Batu Pahat.

Terdahulu lelaki terbabit yang dikenali sebagai Abang Bas ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira jam 2.57 pagi tadi.

M Kumar memaklumkan pihaknya juga merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan di akaun media sosialnya.

“Semalam, Polis Kontinjen Johor mengesahkan menerima laporan polis dan menjalankan siasatan berhubung penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak dalam sebuah bas dipandu seorang lelaki.

“Suspek memuat naik rakaman video ke akaun media sosial TikTok dengan hantaran berkenaan masih wujud dan boleh diakses.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan dan polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang terdapat dalam rakaman video itu supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum ini tular di aplikasi TikTok seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpang bas yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Berdasarkan pemerhatian di TikTok, pemilik akaun itu mempunyai lebih 600,000 pengikut, merekodkan video ketika memandu bas sekolah, dengan wajah pelajar jelas kelihatan.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan turut mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai satu hantaran yang tular di media sosial.

Loading...
Terkini