
GEORGE TOWN: Enam pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan merusuh di tempat awam menggunakan topi keledar sehingga tiga daripada mereka mengalami kecederaan di Batu Ferringhi, Rabu lalu.
Seorang daripada tertuduh iaitu Arul Kevin Raj Kannan, 19, yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.
Sementara lima yang lain, Rahul, 23; Raagendra Marthanveeran, 24; Cheah Dishalan, 24; Yuven Muniandy, 29 dan Saravanan Sariappan, 27, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Siti Nurul Suhaila mengarahkan Arul Kevin mengemukakan laporan sosial kepada mahkamah, memandangkan usianya yang masih muda, sebelum tindakan lanjut terhadapnya diputuskan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama terlibat dalam rusuhan sehingga mendatangkan kecederaan kepada Raagendra, Saravanan dan Yuven dengan menggunakan topi keledar.
Kesemua lelaki terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan Light House Batu Ferringhi pada jam 1.32 pagi, 12 Februari lalu, dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali, manakala Saravanan, Rahul dan Yuven diwakili peguam V Joseph, sementara tiga lagi diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK).
Mahkamah menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan laporan sosial, manakala tertuduh dibenar ikat jamin RM3,500 setiap seorang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.