Tumpuan :
Mahkamah

6 anggota polis saksi pertama kes perbicaraan enam rakyat Malaysia

Mahkamah Wilayah Narathiwat berlangsungnya perbicaraan penyanyi dan lima rakyat Malaysia. Foto NSTP

NARATHIWAT: Perbicaraan kes berkaitan dadah dihadapi penyaki dikir barat moden dan lima yang lain di Mahkamah Wilayah Narathiwat, hari ini memanggil saksi pendakwaan pertama.

Saksi itu, enam anggota polis daripada Balai Polis Sungai Golok dipanggil timbalan pendakwa raya dalam prosiding bermula 10 pagi di hadapan tiga panel hakim.

Mereka daripada pasukan narkotik polis terbabit dalam operasi anti dadah yang membawa kepada penahanan penyanyi berusia 30 tahun itu, suaminya dan empat rakan mereka.

Keenam-enamnya memberi keterangan, menjawab pertanyaan timbalan pendakwa raya dan peguam yang mewakili enam rakyat Malaysia itu.

Pengamal media Malaysia dibenar mengikuti perbicaraan dengan menonton siaran langsung dari bilik khas.

Perbicaraan itu turut dihadiri ahli keluarga semua tertuduh.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada pada 13 dan 14 Februari ini.

Bulan lalu, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail dan lima yang lain didakwa memiliki 6,059 pil kuda dan pengambilan dadah di pekan Sungai Golok.

Wan Norshaheeda atau lebih dikenali sebagai Eda Ezrin; suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdeka Mohd Noor, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, mengaku tidak bersalah memiliki pil itu.

Mereka bagaimanapun mengaku bersalah mengambil dadah di hadapan hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat.

Keenam-enam mereka didakwa ditemui bersama pil Yaba di sebuah hotel di Sungai Golok kira-kira 5 pagi (waktu Thailand), 1 November lalu.

Zuhaira dan Erdeka juga menghadapi pertuduhan memasuki Thailand tanpa dokumentasi sah dan tinggal lebih masa.

Bulan lalu, hakim turut meminta semua tertuduh mengumpul bukti dan saksi bagi menyangkal pertuduhan terhadap mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini