MUAR: Enam warga Bangladesh masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan bersama-sama membantu menjalankan aktiviti pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ahlong.
Kesemua tertuduh berkenaan, Hossain Akhter, 40; Ahmed Kabir, 29; Shohag, 29; Sariful Islam, 29; Islam Atikul, 29; dan Ahmed Hossain, 29; mengaku bersalah di hadapan Majistret Suzana Mokhtar selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadap mereka.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membantu menjalankan aktiviti pemberi pinjam wang tanpa lesen yang sah di sebuah bank di Jalan Bakri, di sini, kira-kira jam 4.30 petang 6 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara dua tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aqillah Mohd Rofaie, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Barath Paramasivan dan Teng Jinghen.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 ke atas setiap tertuduh serta memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.
Kesemua tertuduh itu membayar denda berkenaan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat mengenai kegiatan sekumpulan lelaki warga asing didakwa menjalankan aktiviti memberi pinjam wang tanpa lesen.
Siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, kemudian membawa kepada penahanan enam suspek.
Hasil pemeriksaan polis turut menemui sejumlah 187 kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik peminjam, manakala suspek dipercayai menawarkan pinjaman kepada pekerja asing pada kadar faedah tinggi sekitar 10 peratus.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.