KOTA TINGGI: Lima lelaki termasuk seorang warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan melakukan sabotaj iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air di Bandar Tenggara pada 4 September lalu.
Mereka termasuk pengarah dan pemegang saham sebuah kilang, Tan Eng Yong, 41 (warga Singapura) dan Lau Kam Wai, 53, warga tempatan.
Tertuduh lain iaitu R Navaraj, 23; K Prasanth, 28 dan K Jaya Kumar, 52, adalah pemandu lori dan kelindan.
Lima lelaki termasuk seorang warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan melakukan sabotaj iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air di Bandar Tenggara pada 4 September lalu. pic.twitter.com/HVVzRfohVb
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 26, 2024
Tan Eng Yong dan Lau Kam Wai didakwa bersubahat dengan tertuduh lain pada 4 September 2024 antara jam 8 malam hingga 11.30 malam, bertempat di kawasan lombong Kampung Orang Asli Pasir Intan, Bandar Tenggara, dalam daerah Kota Tinggi.
Mereka didakwa secara tidak langsung melakukan sabotaj iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air.
Mereka didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas bersubahat melakukan kesalahan itu, di mana kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan.
Mereka didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama dengan seksyen 124K Kanun Keseksaan.
Ia memperuntukkan hukuman pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun jika disabit kesalahan.
Dalam pertuduhan berasingan, Navaraj, Prasanth dan Kaliarasan didakwa melakukan kesalahan antara jam 8 malam hingga 11.30 malam, bertempat di kawasan lombong Kampung Orang Asli Pasir Intan, Bandar Tenggara, dalam daerah Kota Tinggi pada 4 September lalu.
Mereka didakwa secara tidak langsung melakukan sabotaj iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun sekiranya disabit kesalahan.
Semua tertuduh mengangguk memahami pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu dan Mandarin serta mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya, Abdul Malik Ayob; Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar manakala Tan Eng Yong dan Lau Kam Wai diwakili peguam, Muhammad Mohd Nasir dan Goh Sze Han.
Tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguambela.
Hakim mahkamah Sesyen, Hayda Faridzal Abu Hasan menetapkan 14 November sebagai tarikh sebutan semula kes dan bagi proses pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Hayda Faridzal tidak membenarkan jaminan bagi semua tertuduh.
Ketika sesi mahkamah bermula, seorang tertuduh, Prasanth (yang berpakaian warna merah) rebah sehingga ia mengganggu kelancaran mahkamah selama tiga minit.
Malah Prasanth selepas sesi pertuduhan memaklumkan mahkamah bahawa dia tidak bersalah kerana tidak mengetahui kandungan barangan yang dibawa ketika kejadian.
Bagaimanapun Hayda Faridzal menyatakan kenyataan itu boleh dimaklumkan ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Awal bulan ini, Johor berdepan beberapa siri pencemaran bau dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kimia di sungai sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi.
Sebelum ini, lebih 38 penduduk orang asli di Kampung Pasir Intan terpaksa dipindahkan ke balai raya kampung berdekatan selepas mendakwa sesak nafas dan sukar bernafas susulan pencemaran bau Sungai Linggui, iaitu anak Sungai Sayong.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.