Tumpuan :
Mahkamah

5 lelaki bebas kes bunuh T Nhaveen

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan lima rakan selepas didapati tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mencederakan dan membunuh remaja, T Nhaveen pada Jun 2017.

Hakim Radzi Hamid membuat keputusan itu terhadap J Ragesuthen, 24; dua beradik, S Gopinath, 32, S Gokulan, 24, dan dua lagi remaja yang masih di bawah umur ketika kejadian itu berlaku.

Ia selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, Radzi menyatakan terdapat percanggahan dalam keterangan saksi, selain saksi berkenaan juga didapati tidak boleh dipercayai.

Keterangan seorang daripada saksi yang juga rakan mangsa, T Previin turut ditolak mahkamah.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azhar Hamzah.

Gokulan, Gopinath dan Ragesuthen diwakili peguam Datuk Naran Singh, manakala dua lagi diwakili Manveer Singh Dhillon dan S Yagoo.

Kelima-lima mereka didakwa secara bersama menyebabkan kematian Nhaveen mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dakwaan juga dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Mereka turut didakwa menyerang rakan mangsa, T Previin berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Bukit Gelugor antara jam 11 malam hingga tengah malam di lokasi dan hari sama.

Perbicaraan kes hanya bermula pada 2021 iaitu empat tahun selepas pertuduhan akibat beberapa penangguhan atas faktor dokumentasi.

Media melaporkan, Nhaveen dan Previin telah dibuli dan dipukul sekumpulan lelaki, namun kedua-duanya dapat melarikan diri untuk mendapatkan bantuan.

Nhaveen kemudian ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di padang berhampiran jalan Kaki Bukit di Bukit Gelugor dan meninggal dunia  lima hari kemudian disahkan akibat mati otak.

Loading...
Terkini