Oleh: Nurul Amalina Zainudin
SELAYANG: Setelah lima tahun penantian kes pencemaran air di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang, Mahkamah Sesyen hari ini memutuskan lima tertuduh termasuk empat beradik yang merupakan pengarah syarikat, dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin memutuskan perkara itu setelah mendengar dan meneliti keterangan 22 saksi dan seterusnya mendapati pihak pendakwaan gagal buktikan kes prima facie atas dua pertuduhan yang dihadapi kesemua tertuduh.
Lima tertuduh itu adalah empat pengarah sebuah syarikat yang juga adik-beradik iaitu Yip Kok Wai, 58; Yip Kok Mun, 63; Yip Kok Kuin, 55; dan Yip Kok Weng, 65; serta seorang pengurus syarikat yang sama, Ho Voon Leong, 64.
Kesemua mereka sebelum ini didakwa dengan niat bersama telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari Bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam salur air.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama telah melepaskan bahan buangan sama dari bengkel sama tanpa lesen.
Antara alasan penghakiman, pendakwaan gagal membuktikan tertuduh berada di premis kilang mereka ketika insiden berlaku pada 2 hingga 3 September 2020.
Pihak pendakwaan gagal mengenal pasti bahan buangan yang didakwa mengandungi bahan berbahaya datang dari kilang tertuduh.
Selain itu, pihak pendakwaan juga gagal memanggil saksi dari Jabatan Kimia yang telah menyediakan laporan, menyebabkan beberapa sampel yang dikemukakan dianggap tidak mengandungi bahan berbahaya.
Pihak pendakwaan pada masa yang sama gagal mengemukakan bukti kukuh wujudnya bahan berbahaya yang datang dari kilang tertuduh, sehingga menyebabkan penutupan beberapa Loji Rawatan Air (LRA).
Dalam pada itu, peguam yang mewakili kesemua tertuduh, Datuk Reza M. Hassan merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukannya atas kemenangan mereka.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada pasukan kami kerana bertungkus-lumus menyediakan hujahan dan meneliti segala bahan kes yang ada, seterusnya membuahkan kejayaan kepada anak guam kami,” katanya ketika ditemui selepas keputusan dibacakan.
Mahkamah memerintahkan wang jaminan RM 400,000 bagi setiap tertuduh, serta passport masing-masing dipulangkan.
Media melaporkan pada 19 September 2020, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menerima laporan insiden air Sungai Gong berwarna hitam tetapi tiada bau yang disyaki disebabkan pewarna, dan menerusi siasatan lanjut, Luas menemui pelepasan efluen berwarna dan berbuih, daripada discaj efluen loji rawatan kumbahan IWK GBK 134 area 5, di kawasan perindustrian Rawang.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) mengesahkan terdapat pelepasan sisa terlarang ke dalam lurang pembentungan di sekitar kawasan Sungai Gong, Rawang yang menjadi antara punca pencemaran sungai itu.