Oleh: Selwam Arjunan
BUKIT MERTAJAM: Lima anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang pekerja kilang pada 1 Februari lalu.
Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Tertuduh, Sarjan Rozaini Abu Hassan, 48; Koperal Muhammad Mustaqim Ismail, 35; Lans Koperal Muhamad Syakir Haikal Hasli, 24; Koperal Mohd Nurizuan Ahmad Suhaimi, 38, dan Lans Koperal Muhamad Khusairi Ahamad, 30 tahun.
Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh secara bersama didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun.
Ia selepas mangsa dikatakan melakukan kesalahan kerana memiliki dadah berbahaya sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM4,500 kepada tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Permatang Tinggi menghala ke Simpang Ampat dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 10.15 malam pada 1 Februari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mahkamah menetapkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Mac depan untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan lima anggota polis menaiki dua kereta peronda MPV ditahan kerana dipercayai melakukan pemerasan wang berjumlah RM4,500 terhadap pekerja kilang kerana didakwa memiliki dadah dalam keretanya di Jalan Permatang Tinggi.
Tangkapan kesemua anggota MPV itu dibuat susulan laporan polis dibuat oleh mangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.