
Oleh:Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Seorang guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah di Dungun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dan berdepan empat tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid lelakinya, tahun lalu.
Mohd Hamdi Hanafi, 47 tahun, bagaimanapun memohon untuk dibicarakan sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun sembilan bulan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di dalam kereta di Jalan Pantai Sura dan di juga sebuah rumah di Dungun pada 3 dan 10 Ogos 2023.
Selain itu, Mohd Hamdi turut berdepan dua pertuduhan bawah Seksyen 14(a) dan dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pertuduhan turut dibacakan bersama Seksyen 16 Akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat tidak kurang dua sebatan.
Mahkamah menetapkan 6 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000.
Selain syarat dilarang menganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis setiap bulan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.