KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat dan empat pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang, minggu lalu, atas 94 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM20.3 juta.
Syarikat Quinton Group Sdn Bhd bersama empat pengarahnya iaitu Tan Kwong Yeow dan Ooi Chuen Chie, masing-masing berumur 35 tahun, Lim Shing Yee, 31 dan Seow Ming Cjoy, 32, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.
Berdasarkan kertas pertuduhan, semua mereka didakwa menerima wang hasil pengubahan wang haram berjumlah RM2.08 juta daripada sebuah akaun semasa milik Quinton Group Sdn Bhd antara Januari 2019 sehingga Disember 2022.
Semua pengarah syarikat itu turut dituduh menggunakan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM168,681 untuk memperoleh lapan kenderaan mewah sepanjang tempoh berkenaan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 [Akta 613].
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu atau RM5 juta, atau mana lebih tinggi.
Bagi harta yang dibuktikan terbabit dengan pengubahan wang haram juga boleh dilucut hak dan dijadikan hasil kepada Kerajaan.
Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM1,748,000 dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi kes.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 1 Disember ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous dan Wan Nur Amanina Wan Din.