KLUANG: Empat lelaki pemungut hutang didakwa di mahkamah Majistret Kluang pagi tadi atas tuduhan mengaibkan dan mendatangkan kemarahan kepada peminjam dan ahli keluarganya.
Bagaimanapun keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik sahaja kertas tuduhan dibacakan dihadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Menurut kertas pertuduhan, empat pemungut hutang S. Chandran, 41; K. Sri Murugam 28 ; Ngoo Yu Tung, 27 dan Mohammad Amir Yusof Suyitno, 29 tahun didakwa secara bersama dengan sengaja cuba mengaibkan dan mendatangkan kemarahan terhadap bapa peminjam berusia 66 tahun sekaligus menimbulkan suasana tidak aman.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Gunung Lambak, Taman Gunung Lambak Kluang kira-kira jam 5 petang pada 23 Oktober lalu.
Susulan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 504, Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfara Fazilun Izylin Ahmad manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 2 Januari 2024 untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Pada Oktober lalu tular di media sosial sekumpulan tiga lelaki berpakaian hitam menggunakan pembesar suara dan meletakkan banting di hadapan sebuah rumah dalam usaha memungut hutang.
Kumpulan itu dipercayai dari sebuah syarikat pemberi pinjaman wang yang bertujuan memalukan peminjam dan penghuni rumah terbabit.