comscore
Tumpuan :
Mahkamah

4 pekerja kargo mengaku tidak bersalah rogol remaja 14 tahun

Tiga pekerja kargo ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau di sini, atas pertuduhan rogol remaja berusia 14 tahun. FOTO: NSTP

BALIK PULAU: Empat pekerja kargo didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur, pada 10 November lalu.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh, Mohammad Syaril Mohamad Roni, 24; Muhammad Syamir Sahimi, 25; Muhammad Shazwan Akmal Dzulkifli, 20, dan Mohd Adam Zulkifli, 20, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mengikut pertuduhan mereka masing-masing didapati merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun antara jam 2 hingga 5 pagi di sebuah rumah di Jalan Sungai Ara 3, Bayan Lepas dekat sini, pada 10 November lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala empat pekerja sebuah syarikat kargo itu tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Jin Hong tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor kesemua tertuduh berusia lebih 16 tahun itu tidak mempunyai masalah rekod kesihatan, mangsa bawah umur serta kesalahan dilakukan mereka adalah serius.

Hakim kemudian tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 7 Januari 2025 bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai kejadian berkenaan membabitkan mangsa yang masih bersekolah.

Remaja berkenaan dikatakan keluar dari rumah pada jam 12.30 pagi sebelum dirogol secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki di sebuah rumah sewa di Jalan Sungai Ara 3 di sini.

Mangsa mendakwa mengenali suspek pertama pada April lalu menerusi kenalan bagaimanapun remaja terbabit tidak mengenali suspek lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini