comscore
Tumpuan :
Mahkamah

4 lelaki didakwa samun jongkong emas lebih RM6 juta

Empat orang suspek dibawa oleh pegawai dan anggota Polis bagi dituduh diatas pertuduhan menyamun jongkong emas di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan samun bersenjata dengan merompak jongkong emas lebih 16 kilogram (kg) bernilai hampir RM6 juta, bulan lalu.

Bagaimanapun, mekanik Aziz Ahmad Noor, 38; penyelenggara pendingin hawa B Krishore Ram, 30; Shah Harizie Zainal, 39, dan Mohamad Afiq Jamal, 33, masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh bersama dua lagi individu yang sudah didakwa semalam melakukan samun berkumpulan menggunakan parang terhadap seorang tukang emas berusia 22 tahun dengan merompak jongkong emas anggaran berat 16.9 kg bernilai kira-kira RM5.9 juta yang juga harta dalam kawalan mangsa terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah kilang di Kompleks Industri Puchong, Puchong sekitar 11 pagi, 13 September lalu.

Justeru, keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas semua tertuduh kerana kes itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

“Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap seorang tertuduh,” katanya.

Selain itu, Nur Izzati juga mencadangkan syarat tambahan iaitu melapor diri ke balai polis berdekatan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan paspot antarabangsa sehingga kes selesai.

Sementara itu, peguam Muhammad Amirul Mukminin yang mewakili Aziz dan Krishore Ram memohon jaminan munasabah kepada anak guamnya memandangkan masing-masing mempunyai tanggungan keluarga.

“Aziz yang juga seorang mekanik dengan pendapatan RM1,800. Anak guam sudah berkahwin dan isterinya sedang mengandung tiga bulan.

“Manakala Krishore Ram adalah seorang penyelenggara pendingin hawa dengan pendapatan RM1,700, isteri tidak bekerja dan turut menanggung seorang anak berusia sembilan tahun,” katanya.

Sementara itu, Shah Arizie dan Mohamad Afiq yang tidak diwakili peguam memohon supaya dibenarkan jaminan rendah atas alasan masing-masing tidak mempunyai kerja tetap selain menanggung ibu bapa di kampung.

Selepas mendengar permohonan, Dr Syahliza membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan lima lelaki dan dua wanita yang dipercayai terbabit dalam kes samun di Kompleks Industri Puchong, Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini