Baling: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh warga emas di sebuah rumah di Kuala Ketil pada 1 Oktober lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh K Tamilselvam, 25, C Vikkaran, 33, Sarim Omar, 33 dan S Sureshkumar, 21, kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan mereka didakwa mencapai niat secara bersama melakukan bunuh terhadap S Kanan, 71, di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di sini.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 3 hingga 4.20 petang 1 Oktober lalu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum gantung hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan tidak kurang 12 sebatan sekiranya didapati bersalah.
Hakim, Najwa Che Mat kemudian menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik dan kimia.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ikmal Affandi Zulkifli manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 2 Oktober lalu, media melaporkan seorang warga emas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan tangan dan kakinya diikat serta terdapat kesan jerut di leher.
| ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki warga emas maut akibat ditekup