Tumpuan :
Mahkamah

4 individu dituduh bunuh Nhaveen diarah bela diri

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Empat individu yang dituduh membunuh T. Nhaveen di Gelugor, Pulau Pinang lapan tahun lalu diarah membela diri oleh Mahkamah Rayuan.

Panel tiga Hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara membuat keputusan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Georgetown sebelum ini mempunyai khilaf.

Tertuduh, J. Ragesuthen, V. Sharmah, S. Gokulan, dan K. Tatisan direman dan akan dibacarakan semula di Mahkamah Tinggi sama.

Manakala seorang lagi tertuduh, S. Gopinath kekal dengan keputusan dibebaskan.

Dalam prosiding, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima berkata hujahan pihak pendakwaan bermerit.

“Berdasarkan hujahan, mengenai kematian Nhaveen terdapat kekhilafan dalam dapatan Mahkamah Tinggi.

“Setelah membuat penilaian ke atas keterangan dikemukakan pihak pendakwaan, ada cukup bukti untuk mewujudkan prima facie bagi rayuan satu dan rayuan dua.

“Dengan itu tertuduh satu hingga tiga diarah bela diri. Manakala bagi tertuduh ke empat, perintah reman dikeluarkan sementara sambung bicara di hadapan Mahkamah Tinggi,” ujarnya.

Manakala bagi tertuduh kelima, mahkamah sebulat suara terdapat prejudis oleh saksi yang memberikan keterangan, justeru keputusan mahkamah (bebas) kekal terhadapnya.

Pada Oktober 2023, Mahkamah Tinggi Georgetown membebas dan melepaskan lima lelaki daripada pertuduhan membunuh dan mencederakan mangsa buli Nhaveen, lapan tahun lalu.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid pada ketika itu membebaskan S. Gopinaath, J. Ragesuthan, dan S. Gokulan, dan dua lagi yang ketika kejadian remaja di bawah umur selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Untuk rekod pada 19 Jun 2017, lima rakan itu didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh Nhaveen berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Bukit Gelugor antara jam 11 malam hingga tengah malam pada 9 Jun 2017.

Nhaveen yang berumur 18 tahun ketika kejadian, cedera parah akibat dipukul sekumpulan remaja dalam kejadian di Jalan Kaki Bukit, sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur.

Rakannya, Preevin dilaporkan turut dipukul oleh kumpulan yang sama menggunakan topi keledar namun sempat melarikan diri bagi mendapatkan bantuan.

Tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Selain itu mereka juga didakwa atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap Nhaveen mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini