Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] 4 individu didakwa edar, miliki dadah lebih 100 kg

JOHOR BAHRU: Empat individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan di sini, hari ini atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah lebih 100 kilogram, awal bulan ini.

Di hadapan Majistret A Shaarmini, keempat-empat tertuduh, Kok Yan Shen, 25; Ng Wei Loon, 30; Lynette Goh Sauk Fung, 25 dan Lim Jia Chun, 30, mengangguk tanda faham akan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap mereka.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

@buletintv3 Empat individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan di Johor Bahru, hari ini atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah lebih 100 kilogram, awal bulan ini. #BuletinTV3 #dadah #JohorBahru ♬ original sound – BuletinTV3

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat kasar 93.658 kilogram.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Mersawa 16, Taman Kota Cahaya Puteri di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam, 5 Januari lalu itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mereka juga boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sehingga 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, keempat-empat tertuduh itu didakwa dengan dua pertuduhan memiliki dadah berbahaya masing-masing jenis ketamin dengan anggaran berat kasar 20.096 kilogram dan nimetazepam dengan berat kasar 2.925 kilogram.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Bagi dua pertuduhan yang dilakukan di lokasi, masa dan tarikh yang sama itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan Mohd Afdhallan Syafiq Azmy, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kedua-dua majistret tidak membenarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Mac depan sementara menunggu laporan kimia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini