KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, memerintahkan empat individu direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah dalam projek yang ditawarkan oleh dua jabatan kerajaan.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Alwi terhadap tiga ahli perniagaan dan seorang wanita Vietnam selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Semua suspek yang berusia antara 20-an hingga 50-an direman sehingga 10 Februari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Semalam, SPRM menahan lapan individu termasuk seorang jurutera awam dan pemilik syarikat kerana disyaki terbabit dalam rasuah untuk memonopoli kesemua projek yang ditawarkan oleh dua jabatan kerajaan di dua daerah di Sarawak.
Menurut sumber, kesemua suspek ditahan antara jam 7 pagi hingga 12 tengah hari di beberapa lokasi sekitar Sarawak dalam satu operasi khas.
Siasatan awal mendapati kesalahan itu dilakukan sejak 2006 hingga kini, dengan kontraktor yang terbabit membenarkan lesennya digunakan dan menerima komisen sehingga 10 peratus daripada nilai projek, manakala jurutera awam menerima upah bagi membantu mendapatkan projek jabatan kerajaan berkenaan.
SPRM turut menyita sebuah Proton X70, wang tunai berjumlah kira-kira RM450,000 dan barang kemas.
Difahamkan, jumlah keseluruhan hasil suapan wang tunai bagi mendapatkan projek di Bahagian Miri, Sibu, dan Kuching adalah lebih RM1.1 juta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.