Tumpuan :
Mahkamah

31 Januari keputusan bantahan awal petisyen Pilihan Raya Parlimen Masjid Tanah

Foto: Kompleks Mahkamah Melaka

Oleh: Baharuddin Mohamed

MELAKA: Mahkamah Pilihan Raya Melaka menetapkan 31 Januari ini bagi keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya untuk Parlimen Masjid Tanah.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis selepas mendengar hujah dikemukakan peguam Mohd Faizi Che Abu dan Ahmad Nazrin Abu Bakar dari Tetuan Tengku Amalin & Faizi yang mewakili Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Pempetisyen iaitu calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid pula diwakili peguam, Datuk Khairul Abd Kadir dan Wan Hamidah Wan Ismail.

Mohd Faizi dalam hujahannya mengemukakan empat sebab mengapa petisyen membatalkan keputusan pilihan raya tersebut perlu ditolak oleh mahkamah iaitu pemfailan petisyen yang membabitkan dakwaan rasuah wang dan jamuan itu dilakukan di luar masa seperti ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Foto: Peguam Mohd Faizi Che Abu

“Yang kedua adalah berkaitan pelantikan peguam yang tidak mengikut undang-undang apabila tidak disetem kerana ia turut membabitkan duti setem dan sebagainya,” katanya.

Mohd Faizi turut berhujah bagaimana jamuan bagi menghargai sukarelawan pilihan raya yang diadakan selepas tarikh pilihan raya berlangsung boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya bagi Parlimen tersebut.

Selain itu, beliau juga berhujah pempetisyen melakukan kesilapan kerana tidak menamakan pegawai pengurus pilihan raya dan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di dalam petisyen tersebut.

Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya Melaka terhadap Mas Ermieyati yang mendakwa berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Pada pilihan raya itu, Mas Ermieyati menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru selepas menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (GTA-Pejuang).

Loading...
Terkini