Tumpuan :
Mahkamah

3 warga Myanmar dihadap ke mahkamah kes pukul rakan guna besi hingga mati

Naing Linn (depan), Nay Zan (tengah) dan Zaw Myo dibawa keluar dari Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh. FOTO NSTP

MUAR: Tiga lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh pekerja kilang perabot menggunakan besi di kawasan perindustrian di Bakri, minggu lalu.

Tertuduh pertama, Naing Linn, 44, mengangguk faham selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Suzana Mokhtar manakala dua lagi, Nay Zar, 33, dan Zaw Myo Khang, 26, akan dihadapkan pada tarikh lain memandangkan tidak memahami bahasa Melayu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Naing Linn, memandangkan kes terbabit di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa membunuh rakan senegara, U Thein Htay Moe di rumah Lot 2978, Jalan Koh Boh Tan, Bakri, antara jam 10 hingga 11.30 malam, 12 November lalu.

Berikutan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dengan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun jika tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaie manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ikat jamin dibenarkan terhadap kesemua tertuduh dan sebutan semula kes pada 2 Januari depan untuk kehadiran jurubahasa Myanmar, laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan kimia.

Sementara itu, di mahkamah sama, tujuh rakan sekerja tertuduh dituduh mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1965/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki dokumen sah.

Dalam prosiding itu, hanya tertuduh, Tiwik Ariyanti, 48, warga Indonesia mengaku bersalah manakala enam lagi ditetapkan pada tarikh sama, memandangkan tidak memahami bahasa Melayu.

Mereka ialah Thet Naing Tung, 24, Khank Wai Lyan Moe, 24, Ye Ming Aung, 24, Zin Nwe Oo, 36, Ko Win, 24, dan Win Nyint, 47.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemui parah akibat dipukul dengan objek keras dipercayai besi sebelum disahkan meninggal dunia keesokan hari ketika mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini.

Siasatan polis mendapati, kejadian berpunca pergaduhan antara mangsa dengan tertuduh.

Selepas membunuh mangsa, ketiga-tiga tertuduh melarikan diri ke Johor Bahru dan ditahan empat hari kemudian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini