Tumpuan :
Mahkamah

3 wanita Vietnam dituduh menyundal, tinggal lebih masa

Tiga wanita Vietnam Mong Trinh, Le Thi, dan Nguyen Thi keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat. FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Tiga wanita warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan melakukan aktiviti persundalan serta tinggal lebih masa di sebuah hotel dan juga rumah kedai, Rabu lalu.

Mereka ialah Mong Trinh Doan, 34, Le Thi Hong Phuong, 31, dan Nguyen Thi Ngoc Yen, 36, namun tiada pengakuan direkodkan selepas ketiga-tiga tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di Hotel Summit Signature di Jalan Bakau Chondong dan rumah kedai di Jalan Kulim, Taman Batu Pahat, di sini, jam 9 malam, 4 Disember lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Le Thi dan Nguyen Thi berhadapan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2020) kerana tinggal lebih masa di negara ini.

Pertuduhan terhadap Le Thi dan Nguyen Thi dilakukan selepas pasport milik mereka tamat tempoh pada 26 November lalu.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duannya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili Tan Song Yan.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan sementara menunggu tarikh sebutan semula kes ini.

Mahkamah kemudian membenarkan Le Thi dan Nguyen Thi diikat jamin RM10,000 seorang, manakala Mong Trinh, RM5,000 dan menetapkan 22 Januari depan untuk status kehadiran jurbahasa Vietnam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini