Tumpuan :
Mahkamah

3 pengawal keselamatan didakwa di mahkamah curi wang tunai RM200,000

Tiga pengawal keselamatan diiringi pegawai polis ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Alor Setar atas kesalahan mencuri wang tunai RM200,000 milik majikan mereka. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Tiga pengawal syarikat kawalan keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencuri wang tunai milik majikan mereka berjumlah RM200,000, minggu lalu.

Bagaimanapun hanya Muhd Fairul Fizree Abdul Hamid, 38, mengaku bersalah, manakala dua lagi tertuduh, Mohamad Zul Hilmi Ahmad, 37, dan Muhammad Fadzli Yaakub, 28, minta dibicara selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurhidayah Mohd Noor.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama didakwa mencuri wang tunai RM200,000 bawah kawalan majikan mereka iaitu syarikat Kawal Wiramas Sdn Bhd di sekitar lampu isyarat Taman Kristal, di sini, pada jam 10.34 pagi, 19 November lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Jayasri, manakala Mohamad Zul Hilmi dan Muhammad Fadzli diwakili peguam, Ilyana Syafiqa Md Saad.

Muhd Fairul diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), HA Chuah.

Mahkamah menetapkan esok sebagai tarikh hukuman terhadap Muhd Fairul berikutan barang kes tidak dapat dikemukakan hari ini.

Mahkamah turut membenarkan ketiga-tiga tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,500 dan seorang penjamin.

Tarikh 29 Disember ditetapkan bagi sebutan semula kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, tiga pengawal keselamatan sebuah syarikat sekuriti swasta, di sini sanggup membuat laporan palsu kononnya mereka disamun sehingga menyebabkan wang tunai sebanyak RM200,000 lesap.

Dalam kejadian itu, ketiga-tiga suspek membuat laporan polis dengan ditemani majikan mereka pada jam 12 tengah hari untuk memaklumkan kononnya mereka disamun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini